KUCHING, 16 September 2026 — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar bin Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Haji Openg, hari ini menyaksikan penyerahan rasmi Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.
Dokumen penyerahan disampaikan Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke kepada Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam satu majlis yang menandakan peralihan rasmi pengurusan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.
Penyerahan itu melibatkan empat dokumen utama termasuk Perintah Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) (Pindaan Jadual) 2026 dan Perintah Lembaga Pelabuhan Bintulu (Pembubaran) (Tarikh Peletakhakan) 2026, selain penetapan tarikh kuat kuasa Akta 858 dan Akta 859.
Mulai 1 September 2026, semua harta, hak, kepentingan dan obligasi Lembaga Pelabuhan Bintulu dipindahkan dan diletak hak kepada Kerajaan Sarawak. Pada tarikh sama, Pelabuhan Bintulu secara rasmi bertukar status daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri, manakala Lembaga Pelabuhan Bintulu dibubarkan.
Peranan pihak berkuasa pelabuhan kini diambil alih oleh Bintulu Port Authority (Sarawak), sebuah badan berkanun negeri yang ditubuhkan pada 1 September 2024 di bawah Port Authorities Ordinance, 1961.
Pengambilalihan itu merupakan hasil proses yang bermula dengan hasrat Kerajaan Sarawak pada 30 Januari 2023, diikuti kelulusan Kabinet Sarawak pada 23 Februari 2023 dan persetujuan Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2024 pada 13 Oktober 2023.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak kemudiannya menandatangani Memorandum Persefahaman pada 22 Mac 2024, sebelum nilai pengambilalihan Lembaga Pelabuhan Bintulu dipersetujui sebanyak RM1.8 bilion pada 4 Februari 2026.
Perjanjian penyempurnaan turut dimeterai pada 21 Jun 2026, disusuli penyerahan cek oleh Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan.
Pelabuhan Bintulu dibangunkan sebagai pelabuhan air dalam dan memainkan peranan penting dalam menyokong kegiatan perindustrian Bintulu, khususnya industri gas asli cecair (LNG), selain menjadi antara laluan utama eksport LNG Malaysia serta mempunyai kedudukan strategik dalam rangkaian perdagangan antarabangsa dan BIMP-EAGA.